Hotline:  1 800 88 1392

Blog

Alzara / Ramadan  / 9 Kelebihan Amalan Berpuasa Bagi Setiap Manusia

9 Kelebihan Amalan Berpuasa Bagi Setiap Manusia

Setiap tahun, orang Islam diwajibkan berpuasa sepanjang bulan Ramadan dan sangat digalakkan untuk berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Khamis serta hari-hari tertentu yang digalakkan untuk berpuasa. Berpuasa membantu kita menjadi lebih bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Kenapa berpuasa sangat penting sehingga tersenarai dalam Rukun Islam?
Berpuasa secara mudahnya dikatakan dengan tidak makan dan tidak minum dari Subuh sampai Maghrib, lebih kurang 14 jam. Selepas berpuasa, kita boleh berbuka dengan memulakan dengan manisan seperti kurma dan makanan lain secara berpada-pada. Jangan tidak tahu, berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Berpuasa banyak manfaat dan kelebihannya.

Secara amnya, kelebihan berpuasa dari segi kesihatan datangnya daripada pengurangan pengambilan bahan-bahan dalam makanan yang biasa diambil secara berlebihan terutamanya gula dan garam yang memang terkenal sebagai ‘musuh’ orang yang sedang menjaga diet. Disebabkan itu, ramai yang memilih bulan Ramadan untuk memulakan misi menurunkan berat badan.

Jom kita tengok kelebihan amalan berpuasa.

Apabila Pengambilan Gula Menurun Dengan Berpuasa
Gula sangat sinonim dalam kehidupan kita. Tahu tak, dalam banyak-bahan bahan dalam makanan, gula boleh dikatakan biasanya diambil dalam kuantiti paling tinggi disebabkan pengambilan karbohidrat yang tinggi dalam makanan seperti nasi, bihun, dan mi, di mana karbohidrat akan ditukar kepada bentuk paling asas iaitu glukosa. Lepas tu, macam-macam jenis air dibancuh menggunakan gula.

Gula mempunyai rasa manis yang digemari ramai dan memberikan tenaga segera. Namun, gula juga sangat berbahaya jika diambil secara berlebihan dan berterusan. Apabila berpuasa, takat gula dalam darah akan menurun dan memberikan banyak manfaat untuk kesihatan.

1. Meningkatkan Sensitiviti insulin
Insulin diperlukan untuk menukarkan gula kepada tenaga. Namun, tahap gula dalam darah yang tinggi mengurangkan sensitiviti insulin menyebabkan gula disimpan dalam bentuk lemak dalam badan. Inilah antara faktor masalah kegemukan yang juga membawa kepada masalah kencing manis, tekanan darah tinggi dan jantung. Dengan berpuasa, kita sebenarnya sedang melindungi diri daripada penyakit tiga serangkai ini.

2. Meningkatkan Sensitiviti Leptin dan Menyelesaikan Masalah Kerintangan Leptin
Leptin adalah hormon dalam lemak yang menghantar signal kekenyangan ke otak. Pengambilan gula yang rendah mampu meningkatkan sensitiviti reseptor leptin di otak yang membuat kita lebih cepat rasa kenyang dengan pengambilan makanan yang lebih sedikit. Apabila senang kenyang, kita akan makan dengan jumlah yang betul-betul diperlukan oleh badan dan tidak lagi makan secara berlebihan.

3. Meningkatkan Hormon Pertumbuhan Dalam Darah
Growth hormone boleh meningkat sehingga 5 kali ganda sepanjang kita menjarakkan waktu makan. Hormon ini bukan sahaja menggalakkan pembakaran lemak melalui proses metabolisme, malah meningkatkan penghasilan otot dan tulang. Bukan itu sahaja, hormon pertumbuhan mampu membantu mengawal tahap glukosa dalam darah supaya menjadi normal.

4. Mengurangkan berat badan secara sihat
Apabila tahap gula berkurang, sensitiviti insulin meningkat, badan akan lebih mudah menjalankan proses kitosis dimana gula ditukarkan kepada tenaga. Apabila kitosis berlaku secara lebih rancak, penyimpanan lemak dalam badan akan berkurang dan menyumbang kepada pengurangan berat badan. Apabila berat badan turun, badan lebih sihat, kurus, langsing, cantik, dan kita pun lebih yakin dengan diri sendiri.

5. Menyihatkan dan mencantikkan badan dan kulit untuk kesan awet muda
Mengurangkan pengambilan gula adalah kaedah awet muda yang paling berkesan. Malah, ia sebenarnya boleh dijadikan satu rutin untuk mengekalkan kesihatan dan kecantikan badan dan kulit. Ini kerana gula mempercepatkan penuaan sel dengan mengubah struktur kolagen dan melemahkannya. Malah, jerawat pun akan lebih cepat hilang dengan mengurangkan pengambilan gula.
6. Apabila Pengambilan Garam Menurun Dengan Berpuasa
Tidak boleh dinafikan, garam sangat penting dalam kehidupan manusia. Malah, manusia tidak boleh hidup tanpa garam. Namun, semua perkara yang kita lakukan mestilah secara sederhana termasuklah dengan pengambilan garam. Garam yang diambil secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan manusia. Jadi, puasa sangat bermanfaat untuk mengurangkan kandungan garam dalam badan.

7. Menurunkan Tekanan Darah
Garam bersifat mengekalkan dan meningkatkan kandungan air dalam badan terutamanya dalam salur darah. Takat garam yang tinggi dalam darah turut meninggikan kandungan air sehingga meningkatkan tekanan darah. Apabila berpuasa, kandungan garam dalam darah akan menurun dan tekanan dalam darah akan turut sama turun.

8. Mengelakkan Serangan Jantung
Sifat garam yang meningkatkan tekanan darah juga meningkatkan risiko serangan jantung. Hal ini akan terjadi apabila jantung terpaksa bekerja lebih keras untuk menyalurkan darah ke seluruh badan dan akan merosakkan saluran darah. Jadi, berpuasa mampu mengurangkan beban jantung untuk mengepam darah.

9. Mengurangkan Risiko Batu Karang
Sodium dan kalsium biasa ditemui di dalam air kencing setelah melalui proses perkumuhan oleh buah pinggang. Apabila kandungan sodium tinggi dalam air kencing, kandungan kalsium juga akan tinggi. Kandungan kalsium berlebihan dalam air kencing adalah penyebab penyakit batu karang. Untuk mengelakkannya, kita boleh berpuasa untuk mengurangkan pengambilan sodium dan juga kalsium.

Konklusi
Berpuasa memberikan banyak manfaat untuk setiap orang daripada segi rohani dan jasmani. Sepanjang berpuasa, kita dilatih untuk bersabar dalam menahan nafsu, untuk kuat menahan lapar dan dahaga. Walaubagaimanapun, berpuasa juga ada hadnya. Berpuasalah dengan cara yang betul, bukan terlalu lama sehingga menjejaskan kesihatan. Ingat, berpuasa bukan tidak makan sepenuhnya. Berbukalah apabila tiba masanya. Insya Allah, kesihatan terjaga, Allah suka, ibadah diterima.

No Comments

Post a Comment